PERSOALAN & TAZKIRAH (BENARKAH SYAITAN DIIKAT PADA BULAN RAMADHAN)


              Kita sering mendengar penceramah-penceramah mengutarakan tentang hadis nabi yang menyebut tentang syaitan diikat dan dibelenggu pada bulan Ramadhan.  Kadang-kadang timbul kekeliruan terutama bagi orang awam, sekiranya syaitan diikat pada bulan Ramadhan, kenapa pada bulan Ramadhan masih ada orang yang dirasuki Syaitan?  Penulis akan cuba merungkaikan persoalan ini mengikut pandangan ulama'-ulama' yang muktabar.




             Hadis yang dimaksudkan adalah hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim. Sabda Rasulullah s.a.w. :

 "Apabila datangnya bulan Ramadhan maka dibuka pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan".

Sebahagian ulama' berpandangan bahawa yang dimaksudkan dengan pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup adalah majaz iaitu suatu bahasa kiasan tentang betapa besar dan banyaknya rahmat dan keampunan Allah s.w.t. terhadap hambanya pada bulan Ramadhan .

Seolah-olah hamba yang merebut peluang keemasan ini dengan memperbanyakkan amal kebajikan telah sedia memasuki Syurga. Manakala mereka berpuasa dengan mengengkang nafsu syahawat dan meninggalkan kemungkaran dan kemaksiatan telah dapat menghindarkan diri daripada api neraka. Hal ini digambarkan dengan ungkapan pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup.

Walaupun pada hakikatnya belum sampai masanya mereka memasuki syurga kerana  syurga dan neraka ini adalah pembalasan terhadap hamba-hamba  pada hari Akhirat.

 Sebahagian ulama' pula berpegang dengan zahir nas dengan mengatakan memang pada hakikatnya pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup pada bulan Ramadhan. Pada pandangan penulis kedua-dua pandangan ini adalah benar dan ada asasnya dan tiada halangan untuk mengabungkan kedua-dua pandangan ini.
           Berbalik kepada persoalan syaitan dibelenggu pada bulan Ramadhan, sebenarnya ulama'-ulama' islam telah memberi beberapa pandangan. Sebahagian ulama' berpegang dengan zahir nas dengan mengatakan memang pada hakikatnya syaitan dibelenggu. Mereka mengambil sikap berdiam diri (tawaquf) terhadap persoalan berlakunya kerasukan syaitan pada bulan Ramadhan.

 Sebahagian ulama' pula mentakwilkan ungkapan syaitan dibelenggu dengan makna majaz iaitu bahasa kiasan bukannya hakikat. Ia mengambarkan kesulitan syaitan untuk mengoda dan menganggu anak adam dalam keadaan mereka berpuasa seolah-olah syaitan dibelenggu pada bulan tersebut.  Hal ini dapat difahami melalui hadis nabi :

"Sesungguhnya syaitan berjalan di dalam tubuh anak adam seperti darah mengalir, maka sempitkanlah aliran tersebut dengan berlapar (puasa)."

Pandangan ketiga mengatakan bahawa memang benar syaitan dibelenggu, namun bukan semuanya. Syaitan yang kuat-kuat sahaja yang dibelenggu dikalangan ketua-ketua mereka. Ini berdasarkan riwayat yang lain yang menggunakan lafaz "maradatul Syayatin" atau "maradatul Jin" yang bermaksud syaitan-syaitan yang kuat.
 Pandangan ini telah dipersetujui oleh Syeikh Wahid Abdul Salam Bali dalam kitabnya "Wiqayatul Insan Minal Jin Wassyayatin". Penulis lebih cenderung kepada pendapat ini. Pendapat ini sekaligus menjawab persoalan berlakunya kerasukan syaitan didalam bulan Ramadhan dimana syaitan-syaitan yang merasuk tersebut adalah syaitan-syaitan kecil.
            Pada pengalaman penulis, penulis pernah merawat orang yang dirasuki syaitan di dalam bulan ramadhan sehingga berlakunya dialog diantara penulis dan syaitan yang merasuk melalui perantaraan lidah pesakit. Didalam dialog tersebut penulis telah bertanyakan tentang syaitan dibelenggu dan ternyata syaitan yang merasuk tubuh persakit mengakui ketua-ketua mereka ada yang dibelenggu. Wallahu a'alam...

(Artikel penulis ini telah diterbitkan dalam Buletin Surau Ibnu Sina, Pusat Perubatan UKM, keluaran ke-28 pada Jumaat 13 Ogos 2010 )


by Hasrizal Hasan
Sumber
Syaitan Dibelenggu Ketika Bulan Ramadhan



Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا دَخَلَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ

“Apabila masuk sahaja Ramadhan, maka pintu-pintu Jannah (Syurga) pun dibuka, pintu-pintu jahannam ditutup, dan syaitan-syaitan pula dibelenggu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 11/55, no. 3035)

إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ صُفِّدَتْ الشَّيَاطِينُ وَمَرَدَةُ الْجِنِّ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ فَلَمْ يُفْتَحْ مِنْهَا بَابٌ وَفُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ فَلَمْ يُغْلَقْ مِنْهَا بَابٌ

“Apabila tiba saja malam pertama bulan Ramadhan, dibelenggulah syaitan-syaitan dan jin-jin yang ganas (yang besar). Pintu-pintu Neraka ditutup dan tiada satu pun terbuka. Pintu-pintu Syurga pula dibuka dan tiada satu pun yang tertutup.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, 3/103, no. 618. Ibnu Khuzaimah, 3/188, no. 1883. Dinilai hasan oleh al-Albani)

Imam Ibnu Khuzaimah (Wafat: 311H) menyatakan:

باب ذكر البيان أن النبي صلى الله عليه و سلم إنما أراد بقوله: و صفدت الشياطين مردة الجن منهم لا جميع الشياطين إذ اسم الشياطين قد يقع على بعضهم

“Bab penjelasan terhadap apa yang dimaksudkan dengan Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam: “Dan dibelenggulah syaitan-syaitan yang ganas (atau besar).” Bukan merujuk kepada seluruh syaitan kerana sebutan (atau istilah) syaitan-syaitan adakalanya digunakan untuk sebahagian dari mereka.” (Shahih Ibnu Khuzaimah, 3/187)

Kata al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah:

المراد بالشياطين بعضهم وهم المردة منهم وترجم لذلك بن خزيمة في صحيحه وأورد ما أخرجه هو والترمذي والنسائي وبن ماجة والحاكم

“... (Berdasarkan pendapat yang lain) Apa yang dimaksudkan syaitan dalam hadis ini merujuk kepada sebahagiannya, iaitu mereka yang ganas lagi menentang. Sebab itulah Ibnu Khuzaimah membuat judul bab dalam kitab Shahihnya untuk hadis berkaitan, lalu beliau menyebutkan hadis diriwayatkannya sendiri dan juga diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, an-Nasaa’i, Ibnu Majah, dan al-Hakim... (sebagaimana di atas).”

Syaitan Dibelenggu, Tetapi Kenapa Maksiat Berleluasa?

Imam al-Qurthubi menjelaskan:

فإن قيل كيف نرى الشرور والمعاصى واقعة في رمضان كثيرا فلو صفدت الشياطين لم يقع ذلك فالجواب أنها إنما تقل عن الصائمين الصوم الذي حوفظ على شروطه وروعيت ادابه أو المصفد بعض الشياطين وهم المردة لاكلهم كما تقدم في بعض الروايات أو المقصود تقليل الشرور فيه وهذا أمر محسوس فإن وقوع ذلك فيه أقل من غيره اذلا يلزم من تصفيد جميعهم أن لا يقع شر ولا معصية لأن لذلك اسبابا غير الشياطين كالنفوس الخبيثة والعادات القبيحة والشياطين الإنسية

“Apabila dikatakan, “Mengapa kita masih melihat kejahatan dan maksiat berlaku di bulan Ramadhan. Sekiranya syaitan dibelenggu, bukankah sepatutnya perkara seperti itu tidak akan berlaku?”

Maka jawabannya, “Bahawasanya gangguan syaitan hanya berkurang terhadap orang-orang berpuasa yang memelihara syarat-syarat puasa dan adab-adabnya. Atau yang dibelenggu hanya sebahagian syaitan sahaja, iaitu para penentang yang ganas dari kalangan mereka sebagaimana dinyatakan dalam sebahagian riwayat. Atau yang dimaksudkan adalah berkurangnya kejahatan dalam bulan Ramadhan, dan ini merupakan perkara yang dapat dirasakan, di mana kejahatan ketika bulan Ramadhan lebih sedikit jika dibandingkan dengan bulan-bulan selainnya. Apabila semua syaitan dibelenggu, juga tidak menjadi sebab untuk tidak akan berlakunya kejahatan dan kemaksiatan. Kerana sebab berlakunya kemaksiatan itu turut didorong oleh sejumlah faktor lainnya selain dari faktor syaitan. Boleh jadi disebabkan nafsu yang buruk, tabiat yang kotor, dan syaitan-syaitan dari kalangan manusia sendiri.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 4/114)

Wallahu a'lam...

sumber : http://fiqh-sunnah.blogspot.com

No comments

Powered by Blogger.